Sabtu, 11 April 2009

Lebih 3000 Kakitangan Kerajaan Telah Hilang Pekerjaan



MELAKA, 11 April -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat untuk mengemukakan beberapa cadangan bagi memantapkan prestasi dan kebajikan kakitangan sektor awam.

Presidennya Omar Osman berkata pihaknya sudah menghantar surat untuk mengadakan pertemuan itu dan sedang menunggu jawapan.

Menurutnya antara cadangan yang dikemukakan ialah mengenai Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), penswastaan sektor awam, mengkaji semula kemudahan perubatan kepada kakitangan awam yang sedang berkhidmat dan pesara, Elaun Sara Hidup (COLA) dan pemberhentian kakitangan kontrak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs dan mesyuarat khas Anggota Majlis Kongres Cuepacs di sini, Sabtu.

Katanya Cuepacs memberi sokongan padu kepada kerajaan baru di bawah kepimpinan Najib dan berharap kerajaan dapat memantapkan aspek kebajikan warga sektor awam.

Sementara itu merujuk kepada kakitangan awam kontrak yang diberhentikan, Omar berkata pihaknya menganggarkan 3,000 kakitangan kontrak di seluruh negara diberhentikan sejak Januari tahun lepas hingga sekarang berikutan kegawatan ekonomi.

Katanya setakat ini terdapat kira-kira 50,000 kakitangan kontrak iaitu 20,000 kakitangan di bawah lantikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) manakala baki 30,000 orang adalah lantikan kementerian, kerajaan negeri, jabatan dan agensi.

"Kakitangan kontrak lantikan JPA dan SPA tidak ada masalah kerana dia sambung kontrak tetapi yang menjadi masalah (pemberhentian) ialah mereka yang merupakan lantikan kementerian, kerajaan negeri, jabatan dan agensi," kata Omar yang turut menjangka lebih ramai lagi akan ditamatkan kontrak.

Beliau berkata ada antara ketua jabatan dan agensi memberi alasan penamatan kontrak disebabkan bajet tidak cukup atau bajet tidak ada, prestasi tidak baik dan masalah kesihatan.

"Alasan tak ada bajet, masa itulah prestasi tak baik, masalah kesihatan dan lain-lain lagi. Ia adalah jawapan yang tidak boleh diterima. Sedangkan semasa Datuk Seri Najib membentangkan mini bajet yang lepas jelas menyatakan bahawa kesemua pekerja kontrak tidak akan diberhentikan," katanya.

-- BERNAMA